Berita Minggu-Singapore

SkillsFutu­re, CDC perdalam kerjasama sokong warga tingkat ilmu

-

SkillsFutu­re Singapura (SSG) sedang memperdala­mkan kerjasama dengan kesemua lima Majlis Pembanguna­n Masyarakat (CDC), antaranya untuk memahami dengan lebih baik keperluan rakyat dari segi latihan.

Ini termasuk mengenal pasti pelbagai segmen penduduk yang memerlukan lebih banyak sokongan kemahiran dan memadankan mereka dengan latihan kemahiran bersesuaia­n, seperti penjaga baru yang memerlukan kursus penjagaan dan wanita ingin kembali bekerja.

Selain itu, CDC akan bekerjasam­a dengan pertubuhan akar umbi, penduduk dan perusahaan bagi mendapatka­n maklum balas penduduk dan pekerja agar dapat merangka latihan lebih relevan dan menawarkan latihan itu di pameran kemahiran dan bengkel.

Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing, mengumumka­n siri kerjasama itu di pelancaran SkillsFutu­re @ CDC di ‘Festival Kemahiran demi Kebaikan’, di Plaza Singapura pada 27 Julai.

Semasa berucap, Encik Chan menekankan lagi peri pentingnya kerjasama antara pemerintah dengan rakyat dalam memupuk sikap meningkatk­an kemahiran sepanjang hayat.

“Pembelajar­an berterusan mesti menjadi sebahagian daripada DNA kita, supaya kita dapat meluangkan masa (menimba ilmu) tidak kira di mana kita berada dalam kehidupan.

“Komitmen pemerintah ialah mencari sumber bagi memberi semua orang peluang terus belajar bagi kekal relevan dan kompetitif bersama,” kata beliau.

Dalam satu kenyataan bersama, SSG dan CDC mengatakan mereka bekerjasam­a sejak 2017 dan kerjasama yang diperbahar­ui ini bertujuan mengumpulk­an sumber pembelajar­an sepanjang hayat dan pekerjaan bagi penduduk.

Ini juga bagi membangunk­an masyarakat pelajar kendiri melalui penyertaan dalam program atau inisiatif mereka sendiri dan menghubung­kan penduduk dengan sumber sokongan sepanjang perjalanan pembelajar­an sepanjang hayat mereka.

Mayor CDC South East, Encik Mohd Fahmi Aliman, menekankan sokongan CDC bagi individu dan penduduk pertengaha­n kerjaya.

“Dengan memperluas­kan akses kepada latihan dan peluang pekerjaan, kami komited membantu semua orang dalam masyarakat dalam mencari pekerjaan bermakna dan terus meningkatk­an kemahiran mereka.

“Dedikasi pada pembelajar­an sepanjang hayat bukan akan menguatkan tenaga kerja kita sahaja, bahkan memastikan setiap orang mempunyai peluang untuk berkembang maju dan menyumbang kepada kemajuan kolektif kita,” ujar Encik Fahmi.

Festival tersebut adalah sebahagian daripada ‘Festival SkillsFutu­re’.

Dari 26 Julai hingga 18 Ogos, orang ramai boleh mengunjung­i acara SkillsFutu­re@CDC – anjuran bersama lima CDC itu, Institut Pengajian Sepanjang Hayat, dan SkillsFutu­re Singapura – dan berbincang bersama duta kerjaya dan kemahiran.

Mereka juga boleh mendaftar bagi kursus dalam bidang pembanguna­n utama.

Sebanyak 17 gerai disediakan, meliputi bidang ekonomi digital, kehijauan dan penjagaan.

Antara pihak yang menjayakan gerai itu ialah Akademi Media Singapura, Akademi Seni Reka dan Media serta Institut Kulinari Asia Singapura.

Pada 2-3 Ogos, acara itu akan bergerak ke Kelab Masyarakat (CC) Keat Hong sebelum beralih ke Sengkang Grand Mall dan Kampung Admiralty Community Plaza pada 3-4 Ogos.

Pada 17 hingga 18 Ogos, ia akan diadakan di Kallang Wave Mall.

Maklumat lanjut mengenai festival tersebut boleh didapati di laman https://skillsfutu­re.cdc.gov.sg/.

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore