Berita Minggu-Singapore

Meroboh tembok keegoan dalam perjalanan kebapaan

- NAZRI HADI SAPARIN mhadi@sph.com.sg Editor Berita

Kasihan ego.

Apabila kita bercakap tentang ego, lazimnya ia sering dikaitkan dengan sesuatu yang negatif.

“Dia tu ego sangatlah!”

“Alah, tak tahan dengan ego dia!” “Tak habis-habis nak kita kipas ego dia! Meluat!”

Namun, sejujurnya, sentimen sedemikian bukanlah sesuatu yang timbul begitu saja. Ada bukti.

Menurut kajian, ego yang bermakna ‘aku’ dalam bahasa Latin, bertanggun­gjawab ke atas pelbagai ciri-ciri negatif manusia termasuk mengkritik dan menghukum orang lain, sikap manipulasi, sikap tidak fleksibel, perlu sentiasa dipuji, perlu rasa dirinya lebih baik daripada yang lain dan macammacam lagi.

Panjang senarainya.

Namun, bagi pengalaman saya, ego tidak semestinya negatif.

Ramai yang tidak mengenali ego saya, kecuali diri saya sendiri. Beliau tampan orangnya, gagah, tinggi lampai, suka bergaul dan berbual serta memiliki keyakinan diri yang melambung tinggi.

Ego saya dan diri saya yang sebenar tidak berkongsi ciri-ciri yang sama, kecuali dari segi fizikal. Kami berdua tinggi – saya yang sebenar mempunyai ketinggian 1.8 meter – dan juga tampan, meskipun perkara ini, saya akur, agak subjektif.

Lebih penting lagi, sepanjang kehidupan saya, terutama dalam zaman mendewasa, ego sayalah yang telah mendorong saya ke depan dalam masa-masa sukar.

Ia telah membantu saya menyesuaik­an diri dengan keadaan.

Dalam kerjaya saya sebagai wartawan, ego saya membantu saya bersemanga­t berbual dengan orang ramai semata-mata untuk berbual. Padahal, sejujurnya, saya lebih selesa bersendiri atau menghabisk­an waktu bersama keluarga atau kumpulan teman-teman rapat.

Berbual ialah ciri penting seorang wartawan. Wartawan yang berat mulut ialah... okey sukar jadi wartawan kalau berat mulut sebenarnya.

Dalam masa-masa mencabar juga, ego saya sering memberi saya semangat.

“Sudah, lupakan yang lepas, lihat ke depan.” “Nak kecewa apa? Benda dah berlaku, sudah jangan emosi, kuatkan hati.”

Kata-kata seperti ini dari ego saya sering memacu saya ke hadapan, daripada mengatasi tekanan belajar, cabaran bersukan semasa di sekolah dan gelora kehidupan sehingga ke hari ini. Terima kasih, ego.

Bagaimanap­un, dalam melayari hidup sebagai seorang bapa, ego yang mudah saya kawal dan menjadi elemen positif dalam kehidupan, kini berpotensi menjadi satu pergelutan.

Keadaannya belum meruncing lagi, memandangk­an cabaran kebapaan saya belum begitu rumit.

Iyalah, dua anak saya masih kecil. Yang nombor dua, bakal menyambut ulang tahun ke-10 bulan depan dan yang bongsu pula baru berusia empat tahun.

Yang sulung, sudah berusia 13 tahun. Namun, dia seorang anak yang mempunyai autisme, justeru cabaran yang saya hadapi bersamanya amat berbeza.

Kelemahan ego saya ialah, ia mempunyai keyakinan diri yang berlebihan. Dalam menangani satu masalah atau cabaran, naluri pertama ego saya ialah untuk ‘meremehkan­nya’ kerana setiap perkara itu ada penyelesai­an.

“Tidak perlu dibesar-besarkan perkara kecil!”

“Jangan emosional, berfikir secara rasional!”

Sikap seperti ini mungkin berkesan dalam menangani pelbagai cabaran kehidupan, namun dalam alam kebapaan, ia tidaklah begitu mudah.

Ini kerana ego saya sentiasa menganggap ia dapat memperbaik­i segala keadaan, menjadikan segalanya lebih baik.

Bagaimanap­un, sebagai bapa, saya mula sedar kita tidak mampu menjadikan segala-galanya lebih baik. Itulah realiti kehidupan.

Dalam berdepan masalah, naluri utama ego itu ialah untuk mencari huraian. Iya, ego mendengar tapi dengan tujuan seakan-akan untuk ‘bertarung’ – bertarung mencari penyelesai­an. Ego itu mendengar, memproses maklumat dan mencernaka­n rancangan pelaksanaa­n.

Ego itu harus muncul sebagai ‘wira’.

Namun, sebagai bapa, kadangkala kita lebih diperlukan mendengar rintihan anak-anak atau sebagai suami, keluhan isteri. Bukan untuk mencari penyelesai­an.

Meskipun kita mahu menjadi sebahagian besar kehidupan anak-anak kita, hakikatnya ialah kehidupan tersebut milik mereka. Akan ada masanya, walaupun mereka berkongsi masalah dan cabaran mereka, namun anakanak kita sebenarnya tidak memerlukan kita untuk menyelesai­kan masalah mereka itu.

Ia sememangny­a sukar untuk membendung naluri semula jadi kita sebagai bapa, untuk membiarkan ego kita mengambil alih, meneraju keadaan.

Bagaimanap­un, bagi kita yang masih mempunyai anak-anak kecil, kesedaran itu harus datang sekarang sebelum anak kita lebih dewasa.

Dalam dunia sekarang, dengan anak-anak terdedah dengan pelbagai sumber maklumat, anak-anak mendewasa jauh lebih cepat.

Jika kita tidak mula meroboh tembok keegoan sekarang dan terus memendam sikap bahawa sebagai bapa, kita lebih mengetahui, lebih bijak, lebih pandai mencari huraian dan anakanak (dan isteri) wajar hanya mendengar serta patuh saja, tanpa kita sedari, tembok ego itu akan menjadi tembok yang memisahkan.

Anak-anak perlukan bapa mereka, bukan egonya.

Pastinya, kita perlu mencari keseimbang­an. Menyedari bila masa untuk kita bertindak, melakukan sesuatu dan masa untuk kita hanya menjadi sekadar tempat mengadu.

Bagi kita sebagai bapa, kita sentiasa cuba melakukan perkara yang betul. Kita mahu melindungi anak-anak kita. Kita berkorban masa rehat, wang dan masa. Ego kita menuntut kita melakukann­ya, dengan rela dan gembira.

Namun, dalam masa-masa tertentu, kita harus mengenal pasti masa untuk membiarkan ego anak-anak kita pula berkembang dan mengatasi cabaran hidup mereka, dengan kita di belakang sentiasa bersedia memberi sokongan dan menjadi tempat untuk mereka merintih, apabila perlu.

Selamat Hari Bapa!

 ?? ?? Perlu mencari keseimbang­an antara naluri kebapaan untuk sentiasa menjadi ‘wira’ dan memberi ruang kepada anak-anak berkembang dengan membuat keputusan sendiri. – Foto ISTOCKPHOT­O
Perlu mencari keseimbang­an antara naluri kebapaan untuk sentiasa menjadi ‘wira’ dan memberi ruang kepada anak-anak berkembang dengan membuat keputusan sendiri. – Foto ISTOCKPHOT­O
 ?? ?? Penulis bersama tiga anaknya (dari kiri) Aydan Ziqry, 13 tahun; Amelie Sofia Hannah, empat tahun; dan Aadil Haris, 10 tahun. – Foto ihsan NAZRI HADI SAPARIN
Penulis bersama tiga anaknya (dari kiri) Aydan Ziqry, 13 tahun; Amelie Sofia Hannah, empat tahun; dan Aadil Haris, 10 tahun. – Foto ihsan NAZRI HADI SAPARIN
 ?? ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Singapore